![]() |
Tiga lelaki tempatan masing-masing berumur antara 30 hingga 50 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU: Tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan di beberapa kawasan dekat sini, semalam.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau itu turut merampas sejumlah dadah disyaki jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata serbuan pertama dijalankan di Kampung Titingan kira-kira jam 9 pagi dan menahan lelaki berusia 44 tahun bersama sepaket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai syabu seberat 0.19 gram.
“Serbuan kedua dilakukan di kawasan Perindustrian Megah sekitar jam 11 pagi dan seorang lelaki lingkungan usia 50-an ditahan dan dua paket syabu seberat 0.27 gram dirampas.
“Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia 35 tahun ditahan dalam serbuan ketiga di kawasan Batu 5 dan menemui sepaket syabu seberat 0.25 gram bersamanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek turut mendapati mereka positif Methamphetamine dan Amphetamine.
“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.