Ops Tapis, dua lelaki positif dadah diberkas

Dua lelaki diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi dua serbuan berasingan di Kampung Tanjung Batu dan Pasir Putih di sini, semalam. Foto | Ihsan PDRM.

Tawau: Dua lelaki termasuk seorang penganggur diberkas polis selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah menerusi dua serbuan berasingan di daerah ini, semalam.

Serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu, oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemui lima paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 34.82 gram.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif Methamphetamine dan Amphetamine.

"Lelaki berkenaan kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Kampung Pasir Putih, seorang lelaki berusia 34 tahun cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan.

Katanya, dalam Ops Tapis itu, suspek ditahan bersama satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 0.76 gram selain didapati turut positif Methamphetamine dan Amphetamine.

“Dia disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmin turut memberi amaran bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama