Lelaki maut kereta terbalik, rempuh tiang elektrik

Keadaaan kereta Proton Satria yang dipandu mangsa terbaik dan merempuh tiang elektrik di Jalan Dr Yamamoto, Kampung Jawa, dekat sini awal pagi tadi. Foto | Ihsan Bomba.

TAWAU : Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu melanggar tiang elektrik sebelum terbalik dalam kemalangan di Kampung Jawa, Jalan Dr Yamamoto, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.13 pagi itu, mangsa lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II, Jemishin Ujin berkata, sepasukan sepuluh anggota bersama dua jentera, masing-masing sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Proton Satria dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik dan terbalik.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan sebelum anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa melalui cermin belakang kereta yang pecah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jemishin berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.54 pagi selepas memastikan tiada lagi risiko di lokasi kejadian,” katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama