![]() |
Anggota polis daerah Tawau berjaya menahan dua lelaki warga tempatan dipercayai menjual mercun secara haram. |
TAWAU: Polis berjaya merampas sebanyak 60 kotak mercun dipercayai dibawa masuk dan dijual secara haram di daerah ini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, turut ditahan dua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 40 tahun yang sedang leka menjual di kawasan kaki lima Pusat Komersial Ba Zhong
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pihaknya telah menerima maklumat dan aduan mengenai aktiviti penjualan mercun di kawasan tersebut.
Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau digerakkan untuk menjalankan operasi di kawasan kaki lima Pusat Komersial Ba Zhong.
“Pasukan polis mendapati terdapat dua lelaki bersama 60 kotak mercun dipercayai untuk dijual kepada orang ramai di daerah ini.
“Kedua-dua lelaki terbabit juga gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran untuk menjual bahan letupan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.