MICF 2025 perkukuh industri koko Malaysia di peringkat global






KOTA KINABALU – Lembaga Koko Malaysia (LKM) bakal menganjurkan Malaysia International Cocoa Feed (MICF) 2025, sebagai platform utama mempromosikan industri koko negara ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Koko Sabah, Datuk Matbali Musah, berkata acara itu bukan sahaja membuka peluang kepada pelabur global, tetapi juga memperluaskan ruang inovasi dalam sektor koko tempatan.

"MICF 2025 adalah satu platform utama dalam mempromosikan koko Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Program ini juga memberi peluang kepada kita untuk mengukuhkan hubungan dengan pelabur global serta memperluaskan lagi perkembangan dan inovasi dalam industri koko negara," katanya.

Beliau berharap program itu mendapat sambutan menggalakkan dan menyeru pihak media untuk turut memainkan peranan dalam mempromosikannya.

"Kita mengharapkan lebih ramai pengunjung hadir, dan kita juga meminta media untuk membantu dalam usaha mempromosikan program ini," tambahnya.

Dalam pada itu, Matbali turut menekankan kepentingan peranan masyarakat dan media dalam memperkenalkan industri koko Malaysia di peringkat global.

"Media memainkan peranan penting dalam mempromosikan program seperti ini, lebih-lebih lagi kerana ia diadakan di Sabah. Usaha ini bukan sahaja untuk memperkenalkan industri koko negara tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas global," katanya lagi.

MICF 2025 dijadualkan berlangsung di Sabah dan dijangka menjadi salah satu acara terbesar dalam memperkasa industri koko Malaysia.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama