Ganggu penyu di Pulau Manukan, lima individu dikenakan kompaun


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) mengeluarkan notis kompaun kepada lima individu yang dikenal pasti mengganggu penyu ketika menyelam di Pulau Manukan, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Christina Liew berkata pihaknya memandang serius kejadian terbabit sehingga tular menerusi satu video di laman media sosial.

"Tindakan yang dilakukan oleh individu-individu dalam video berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip emuliharaan hidupan marin yang ditekankan oleh kerajaan negeri Sabah.

"Kementerian melalui Taman-Taman Sabah telah mengambil tindakan tegas berdasarkan Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2024) dengan mengeluarkan notis kompaun kepada lima individu yang terlibat dalam insiden tersebut dan kepada syarikat yang bertanggungjawab. 

"Kementerian menyeru semua pengendali pelancongan untuk memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam memastikan pelancong serta kakitangan masing-masing untuk mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, Christina turut berkata kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan ini adalah penting bagi memastikan ekosistem marin kita terus terpelihara untuk generasi akan datang.

"Kerajaan negeri Sabah kekal komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan hidupan liar dan ekosistem semula jadi, sama ada di ralam atau luar kawasan taman," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama