APMM kesan aktiviti tangkap ikan guna bom di Semporna

Pasukan APMM Semporna mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran mencurigakan, kira-kira jam 11.05 pagi.


SEMPORNA: Tindakan seorang nelayan yang menangkap ikan menggunakan bom berjaya dikesan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pulau Kalapuan, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata pasukan Op Pluto Timur mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran mencurigakan, kira-kira jam 11.05 pagi.

Katanya, pasukan operasi terus bertindak menghampiri bot berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan rutin ke atas juragan terbabit.

Namun, katanya, suspek terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan perairan cetek bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

“Bot dan rampasan lain yang dianggarkan bernilai hampir RM5,000 itu kemudian dibawa ke Jeti Pelancong Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan, adalah satu kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana merosakkan ekosistem marin dan membahayakan nyawa manusia.

“Kejayaan ini membuktikan ketegasan APMM melindungi sumber laut negara dan memastikan perairan Semporna bebas daripada aktiviti perikanan haram yang mengancam kelestarian alam sekitar.

“Aktiviti ini bukan sahaja memusnahkan habitat laut, tetapi turut memberi kesan jangka panjang terhadap industri perikanan dan sektor pelancongan yang bergantung kepada keindahan ekosistem marin,” katanya.

Amir menyeru masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti perikanan haram dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita dapat memastikan sumber marin di Semporna terus terpelihara untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama