![]() |
Foto: Facebook Shahelmey. |
Antara laluan yang terjejas adalah Jalan Kemanis-Keningau yang kekal ditutup selepas dua kejadian tanah runtuh dilaporkan.
Menurut Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, usaha pembersihan sedang dirancang, namun keadaan cuaca yang tidak menentu menyukarkan kerja-kerja pemulihan.
“Jalan Kemanis-Keningau setakat ini masih lagi ditutup kerana ada dua kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan tersebut.
"Pihak JKR bersama syarikat konsesi yang menyelenggara laluan itu akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan, jika keadaan cuaca baik, laluan ini dijangka boleh dibuka dalam tempoh dua minggu,”* katanya.
Sementara itu, bagi laluan Sipitang-Beaufort yang sebelum ini tular kerana kenderaan terpaksa meredah sungai akibat jalan tenggelam, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuka laluan sementara bagi memastikan pergerakan trafik tidak terganggu.
Namun, Shahelmey menegaskan kerja pemulihan di lokasi itu juga bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air sungai yang masih tinggi.
"Pihak JKR telah melaksanakan pelan pengurusan trafik dan membuka laluan sementara di atas tembok tanah bagi memudahkan kenderaan kecil melalui kawasan itu.
"Tetapi sama seperti Jalan Kemanis-Keningau, ia bergantung kepada cuaca kerana air yang masuk ke dalam tapak pembinaan adalah limpahan daripada sungai yang mengalami banjir teruk," jelasnya.
Shahelmey berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa UPPM Negeri Sabah Peringkat Parlimen P173 Putatan, pada Isnin.
Pemantauan akan terus dilakukan di semua lokasi terjejas bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa memandu dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa bagi mengelakkan risiko terperangkap dalam banjir.