AMK Sabah sasar tiga kerusi DUN pada PRN Sabah ke-17






KOTA MARUDU – Sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, menyasarkan untuk meletakkan sekurang-kurangnya tiga calon muda daripada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, sasaran itu selaras dengan usaha untuk meningkatkan penyertaan golongan muda dalam arena politik negeri, sekali gus memastikan suara masyarakat luar bandar dan belia dapat diwakili dengan lebih berkesan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

"Saya telah menyampaikan hasrat ini kepada pucuk pimpinan parti, khususnya Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan juga pimpinan AMK di peringkat pusat. Sasaran kita adalah untuk bertanding dan menang dalam pilihan raya kali ini.

"Sekurang-kurangnya, kita mahukan tiga calon muda daripada AMK Sabah untuk bertanding pada PRN akan datang, kita mahu lebih ramai pemimpin muda menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat, bukan hanya untuk memperjuangkan isu belia tetapi juga sebagai mekanisme semak dan imbang di DUN, memastikan suara rakyat luar bandar tidak terpinggir," katanya.

Zaidi berkata dalam satu sidang media sempena Forum dan Pelancaran Manifesto 157 Pasukan Penyatuan Keadilan di Kota Marudu, pada Selasa.

Dalam pada itu, Zaidi yang turut menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang PKR Kota Marudu bagi pemilihan kali ini, menegaskan bahawa AMK Sabah sedang membawa pendekatan politik berasaskan idealisme dan nilai, berbanding politik berasaskan populariti semata-mata.

Menurutnya, pendekatan ini penting untuk memperkukuhkan masa depan politik negeri serta memastikan perjuangan parti terus relevan.

"Gagasan ini menekankan kepentingan mengangkat politik berteraskan idealisme dan nilai supaya parti terus berkembang dan semakin kukuh.

"Apabila anggota parti, memiliki pemahaman yang jelas mengenai reformasi dan perjuangan Keadilan, mereka akan lebih memahami erti perjuangan ini.

"Sudah tentu pemimpin akan silih berganti, tetapi yang paling penting adalah memastikan idealisme dan nilai perjuangan parti terus kekal dalam kalangan anggota," tambahnya lagi.

Forum dan Pelancaran Manifesto 157 Pasukan Penyatuan Keadilan yang berlangsung di Marudu Inn, Kota Marudu, turut menyaksikan kehadiran Pemangku Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Datuk Seri George Rumunsai serta barisan kepimpinan parti peringkat cabang.

Dalam pemilihan PKR Cabang Kota Marudu bagi sesi kepimpinan 2025-2028, Zaidi akan berdepan saingan daripada Sazalye Donol Abdullah, Jasmon Jaji, dan Jolius Majawai dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Kota Marudu.

Pemilihan ini dilihat sebagai medan penting bagi menentukan kepimpinan cabang yang akan memainkan peranan dalam menentukan hala tuju parti menjelang PRN Sabah ke-17.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama