![]() |
KENANGAN.. Azizah (duduk, tengah) merakamkan kenangan bersama Ahli yang hadir. |
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) sedang membangunkan Blueprint Wanita Sabah yang akan menjadi pemacu utama pemerkasaan wanita di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, berbeza dengan program yang bersifat one-off, blueprint ini akan menyediakan sistem pemantauan berterusan untuk menilai impak dasar terhadap wanita serta memastikan keberkesanannya dalam jangka panjang.
"Ini adalah langkah penting dalam memastikan setiap usaha yang dilaksanakan benar-benar membawa perubahan yang nyata kepada wanita di negeri Sabah.
"Melalui sistem pemantauan ini, kita dapat mengenal pasti keberkesanan dasar yang sedia ada serta menambah baik program yang diperlukan untuk memperkukuh kedudukan wanita dalam pelbagai sektor.
"Ini juga akan membantu dalam membuat keputusan yang lebih berasaskan data dan berfokus kepada impak jangka panjang," katanya ketika mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat, Memperkasa Wanita Menuju Masa Depan Yang Lebih Inklusif, di sini pada Selasa.
Azizah turut menyatakan bahawa keperluan untuk memastikan suara wanita terus didengar dalam pembentukan dasar dan keputusan adalah sangat penting.
"Berdasarkan kajian, penyertaan wanita dalam kepimpinan di Sabah masih memerlukan usaha yang lebih berstruktur.
"Wanita hanya menjawat sebanyak 14 peratus komposisi pembuat keputusan dalam Sektor Awam Negeri, manakala 22 peratus menjawat jawatan Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), selain jawatan dalam Agensi Badan Berkanun Negeri yang hanya 24 peratus.
"Sementara itu, komposisi wanita sebagai pembuat keputusan dalam Pihak Berkuasa Tempatan juga menunjukkan angka yang sangat rendah berbanding lelaki yang mendominasi jawatan tersebut," jelas beliau.
Terdahulu, sesi berkenaan turut meneliti pelbagai inisiatif yang boleh digerakkan dalam memberi sokongan kepada keusahawanan wanita di Sabah, termasuk akses modal, program latihan kemahiran dan pasaran.
"Ramai wanita di Sabah telah berjaya dalam perniagaan kecil dan sederhana, dengan akses kepada modal, latihan serta pasaran yang lebih luas, mereka boleh berkembang lebih jauh.
"Kerajaan harus memastikan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif diperkasakan untuk menyokong golongan wanita, dimana mereka diberi ruang untuk terlibat secara aktif dalam agenda sosio-ekonomi negara,"katanya.
Dalam pada itu, Azizah menjelaskan kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan wanita menerusi pelbagai program, kursus dan latihan serta bimbingan mengenai pengurusan kewangan dalam bidang keusahawanan dimana seramai 17,290 wanita telah menerima manfaat dari inisiatif ini.
"Program yang dilaksanakan bagi memperkukuhkan ekonomi kaum wanita khususnya ibu tunggal dan suri rumah yang kehilangan ketua rumah tangga antaranya ialah program berasaskan konsep ekonomi kitaran iaitu Program Ekonomi Pembangunan Mampan (OMEGA) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM),"ujarnya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts.Dr. Ramzah Dambul serta Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Norazlinah Arif.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)