![]() |
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. |
Menurutnya, berikutan penyebaran beberapa klip video terbaharu yang tular baru-baru ini, beliau memberi jaminan bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat.
"Kerajaan negeri di bawah pentadbiran saya tidak pernah mengeluarkan lesen melombong kepada mana-mana pihak. Sebarang dakwaan bahawa lesen melombong (mining lease) telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.
"Setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan prospecting license yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.
"Proses ini adalah langkah awal yang diperlukan sebelum sebarang permohonan mining lease daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan.
"Malangnya, isu ini telah dijadikan propaganda politik oleh pihak tertentu dengan niat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan bahawa permohonan kumpulan berkenaan melibatkan tanah yang sangat luas menghampiri satu juta ekar.
"Sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (totally protected areas), kawasan tadahan air, dan kawasan Pemeliharaan.
"Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam kerajaan negeri.
Tuduhan bahawa wakil rakyat meminta habuan atau melakukan salah laku berkaitan isu ini adalah tidak berasas.
"Perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah, adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik Sabah.
"Oleh itu, saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan, dan kejujuran," katanya.