Jaminan infrastruktur terbaik untuk Kampung Budaya Pasir Putih: Suryady

Suryady pada program sesi libat urus agensi bersama komuniti peringkat Mukim Pasir Putih DUN Tanjung Batu, di sini hari ini.

TAWAU: Penduduk Kampung Budaya Pasir Putih, di sini dipastikan tidak akan ketinggalan menerima semua pembangunan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan sama ada negeri ataupun Persekutuan.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata pihaknya memberi jaminan bahawa kampung ini akan mendapat kemudahan infrastruktur yang sebaiknya seperti di tempat lain.

Katanya, kerajaan akan memastikan semua penduduk di negeri ini mendapat manfaat daripada inisiatif yang disediakan sama ada melalui peruntukan daripada kerajaan negeri ataupun Persekutuan.

“Kampung Budaya Pasir Putih antara kawasan yang mempunyai bilangan penduduk tempatan teramai dan sudah pasti ia akan diberikan keutamaan oleh kerajaan khususnya dari segi infrastrukturnya.

“Setakat ini, kita sudah banyak menyediakan kemudahan untuk dinikmati oleh penduduk di sini dan ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program sesi libat urus agensi bersama komuniti peringkat Mukim Pasir Putih DUN Tanjung Batu, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Perhubungan Kalabakan, Saripudin Nuhalim.

Program itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Batu dan JKKK Kampung Mukim Pasir Putih.

Mengulas mengenai program ini, katanya, ia adalah sesuatu yang baik kerana memberi peluang penduduk kampung mendapatkan maklumat langsung daripada agensi kerajaan tanpa perlu datang ke pejabat.

Suryady berkata, semua agensi yang terlibat juga dapat turun padang dan berjumpa dengan pelanggan di kampung untuk berkongsi maklumat perkhidmatan mereka.

“Kemungkinan ada penduduk yang susah untuk datang ke pejabat kerajaan disebabkan pelbagai kekangan seperti masalah kesihatan, masa ataupun pengangkutan.

“Justeru, dengan program sebegini yang diadakan di kampung-kampung, sudah pasti inisiatif yang disediakan oleh agensi kerajaan dapat disampaikan langsung kepada penduduk,” katanya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, sambutan program ini dilihat sangat menggalakkan daripada penduduk kampung dan ia harus diteruskan di kawasan lain.

“Saya bercadang akan meneruskan program ini di kawasan-kawasan pedalaman supaya lebih ramai lagi penduduk yang mendapat manfaat daripada inisiatif agensi kerajaan.

“Kita mahu semua penduduk di peringkat Parlimen Kalabakan ini mendapat maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan secara langsung dan tepat,” katanya. 

Terdahulu, Suryady turut berkesempatan merasmikan program santun dan rahmah ‘Jom Masuk Kampung’ yang diadakan di kampung berkenaan.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama