‘Kita tidak mampu lagi untuk berpecah belah’ - Hajiji


 KOTA KINABALU: Kestabilan politik di Sabah adalah kunci kemajuan dan kesejahteraan kerana tanpa kestabilan, segala yang diinginkan hanya tinggal harapan kosong dan angan-angan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, dalam konteks politik Sabah, kebersamaan dan kesatuan perlu diperkukuhkan untuk mengelakkan perpecahan yang akan memangsakan rakyat Sabah kelak.

“Kita perlu benar-benar bersatu, bak kata pepatah, serumpun bak serai, sesusun bak sireh, seliang bak tebu dan serangkap bak lembing. Kita tidak mampu lagi untuk bercerai berai, apatah lagi berpecah belah.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memberikan analogi penceraian dalam konteks perkahwinan yang akan meruntuhkan institusi rumah tangga dan memangsakan anak-anak manakala perpecahan dalam konteks perjuangan politik akan meruntuhkan institusi kemasyarakatan yang mana akan memangsakan rakyat.

“Perceraian dan perpecahan adalah dua perkara yang perlu dielak kerana kedua- duanya boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan rakyat.

“Kebersamaan, kesatuan dan perpaduan itu adalah kunci kepada kejayaan dan kecemerlangan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk 'Memperkasa Parti, Memakmurkan Negeri' pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2024 di SICC, pada Ahad.

“Dalam konteks Gagasan Rakyat, berulang kali telah saya sebut bahawa Gagasan Rakyat ini adalah singgahsana kita, ia adalah rumah kita! 

"Sesungguhnya, rumah ini telah kita dirikan dan bina bersama dengan tekad dan iltizam yang padu dan jitu. Rumah ini, adalah rumah kita, rumah kita, kitalah yang jaga, rumah kita, kitalah yang bertanggungjawab terhadapnya!" katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama