KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) adalah peluang terbaik untuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) untuk memperkukuhkan kedudukan di negeri ini.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, semua ahli diminta pasakkan asas parti serta memperkasakan sokongan rakyat terhadap parti yang tercinta ini.
“Momentum ini akan menjadikan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kukuh terpatri dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani.
“Melihat kepada situasi dan kedudukan kita masa kini, Gagasan Rakyat sebagai komponen dalam GRS, perlu mula memperkemaskan strategi, menyusun rapi pentadbiran dan pengurusan parti," katanya
Beliau yang juga Ketua Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2024, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, tiada lagi ruang untuk berlengah-lengah atau berpuas hati dengan kedudukan dan pencapaian.
“Saya sebagai Presiden dan anda sebagai Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan dan sebagai Ketua Sayap. Kitalah yang menakhoda atau menjadi juru pandu di peringkat kita masing-masing.
“Saya katakan ini sebagai peringatan kepada kita semua, bahawa di tahap ini, usaha kita seharusnya sudah sampai ke tahap paling maksimum, iaitu usaha mendekati dan menyantuni rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, beliau bukan sahaja mengharapkan laporan atau cerita yang baik-baik daripada setiap kawasan, tetapi mahukan keikhlasan dan kejujuran dalam memberikan laporan berkenaan.
“Ada kalanya, laporan yang diterima tidak seperti maklum balas yang sampai ke telinga saya, yang dibawa sendiri oleh ahli-ahli parti dari akar umbi.
“Sebab itu saya tekankan, hubungan antara pimpinan bahagian dengan rakyat setempat, hendaklah sentiasa rapat dan akrab, agar denyut nadi rakyat ini mudah kita selami dan fahami," katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut mengingatkan bahawa jangan terbawa-bawa dengan amalan atau budaya politik yang hanya mengutamakan ahli-ahli parti semata-mata, tanpa melibatkan rakyat seluruhnya.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu rakyat menjauh atau rakyat rasa terpinggir dari arus perdana kemajuan dan pembangunan.
Katanya, perpecahan dalam konteks berpersatuan dalam perjuangan, akan meruntuhkan institusi kemasyarakatan dan anggota masyarakat adalah mangsanya.
Hajiji mengingatkan para pemimpin parti agar mempertingkatkan daya juang, perkukuhkan jentera pilihan raya, rapatkan saf kepimpinan dan lebih penting mendekati rakyat walaupun mereka berada jauh di pedalaman.
“Saya ingin mengajak rakan-rakan seperjuangan sekalian, untuk kita sama-sama menggembleng tenaga dan minda, memerangi segala tohmahan, pembohongan dan fitnah yang menjadi-jadi di luar sana.
“Inilah bentuk cabaran dan ujian terbaharu dalam perjuangan. Kita tidak mahu rakyat terpedaya dan mempercayai segala pembohongan dan fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang dan musuh-musuh politik kita,” katanya.
Sebagai kepimpinan parti yang dekat dengan golongan akar umbi, katanya, semua Ketua Bahagian serta Ketua-Ketua Sayap diminta supaya memantapkan Biro Politik masing-masing.
“Kerana itu adalah peranan biro berkenaan untuk menangkis dan memerangi segala dakyah, tohmahan, pembohongan dan fitnah yang dilemparkan terhadap parti kita dan GRS-PH Plus yang kita dukungi sekarang ini,” katanya.