![]() |
Lelaki warga emas ditemui selamat di kebun halia |
TUARAN: Seorang lelaki warga emas berumur 80 tahun ditemui selamat selepas dilaporkan hilang di kawasan hutan, pagi Rabu.
Komander Operasi, PBK I (KUP) Mahmud Jumah berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kehilangan lelaki itu pada pukul 7.12 pagi.
"Kami menerima panggilan di talian balai berkenaan lelaki warga emas hilang di hutan dan seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi, di Kampung Sinulihan Tuaran.
"Selepas tiba di lokasi pada pukul 8.37 pagi, operasi pencarian dilakukan dengan kerjasama daripada enam anggota polis, lima anggota Angkata Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 21 orang kampung," katanya.
Jelasnya lagi, keadaan lelaki warga emas itu dikatakan kurang sihat.
"Menurut orang kampung iaitu jiran, beliau keluar dari rumah ke kawasan hutan.
"Keluarganya maklum bahawa beliau dalam keadaan kurang sihat (nyanyuk)," ujarnya lagi.
Tambahnya, mangsa berjaya ditemui pada pukul 3.10 petang dalam keadaan selamat di sebuah kebun halia.
"Pasukan bomba ke lokasi mangsa ditemui untuk membantu mengangkat dan seterusnya mangsa diberi rawatan oleh pasukan EMRS.
"Setelah diberi rawatan, mangsa diserahkan kepada ahli keluarga untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.
Identiti mangsa dikenalpasti sebagai Akun Kalawot.
Operasi ditamatkan pada pukul 3.20 petang.