Kerajaan Negeri berhasrat wujudkan koperasi Gua Gomantong

 

SIDANG MEDIA: Shafie menjelaskan mengenai Gua Gomantong dalam sidang media berkenaan.

KINABATANGAN: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhasrat untuk mewujudkan sebuah koperasi penduduk bagi mengutip hasil sarang burung Gua Gomantong.

"Berhubung kait dengan Gua Gomantong, sejak dahulu lagi sarang burung merupakan sebuah industri yang telah diurus tadbir oleh pihak tertentu bukannya untuk kepentingan penduduk kampung ini," katanya.

Beliau telah mendapat nasihat dan bagi cadangan untuk mewujudkan sistem koperasi bagi membolehkan semua yang berhak memiliki hasil ini dimasukkan ke koperasi sebelum hasil diagihkan melalui koperasi berkenaan.

Shafie memberi contoh di negara China dimana terdapat sebuah perkampungan yang terkaya di dunia, mereka mempunyai koperasi yang memiliki hotel, bangunan kedai, sistem pengangkutan, restoran yang mana hasil dari koperasi itu diagihkan kepada penduduk kampung

"Mereka mempunyai hasil dalam sejuta setahun, perkara ini dimaklumkan kepada saya oleh Sultan Terengganu dan bekas Menteri Besar Terengganu berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri Sabah akan menghantar pegawai-pegawai negeri untuk membuat penelitian secara mendalam bagaimana untuk menyempurnakan sistem berkenaan.

"Jangan hanya sarang burung ini, orang lobi sana sini, sedangkan manfaatnya tidak diperolehi oleh masyarakat kampung itu sendiri," katanya.

Shafie berkata, ini salah satu usaha kerajaan negeri untuk memastikan rakyat yang berhak menikmati hasil Gua Gomantong berkenaan dapat direalisasikan melalui pewujudan koperasi itu.

  •  oleh 

  • Disiarkan pada:

    Terbaru Lebih lama