Pengarah Tanah dan Ukur merangkap Ketua Merinyu Galian Sabah, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min berkata, kenyataan itu dibuat susulan beberapa dakwaan serta promosi yang mengaitkan syarikat berkenaan dengan aktiviti mencarigali mineral di negeri ini.
Katanya, segala bentuk kenyataan, promosi atau tindakan yang mengaitkan Bumi Suria Sdn Bhd dengan lesen mencarigali adalah tidak berasas dan tidak mendapat sebarang kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa perlombongan negeri.
“Untuk makluman umum, sebarang aktiviti pencarigalian mineral di Sabah hanya boleh dijalankan selepas memperoleh lesen sah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 6 dan 8 Ordinan Perlombongan Sabah 1960.
"Aktiviti itu juga tertakluk kepada syarat-syarat teknikal serta perundangan lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, JTU Sabah turut memandang serius sebarang kenyataan awam melalui media yang boleh mengelirukan orang awam dan menjejaskan integriti penguatkuasaan undang-undang berkaitan perlombongan di negeri ini.
