![]() |
Haizar semasa ditemui media - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU : Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) akan membantu lebih 100 usahawan termasuk program berkaitan premis perniagaan di Sabah tahun ini.
Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Haizar Razif Hisyam Ajaz Nabijan berkata antara tanggungjawab utama SEDCO adalah membantu usahawan bumiputera khususnya golongan B40.
"Pada tahun ini, antara yang kita akan lancarkan ialah rumah-rumah kedai di Weston, Padas Damit dan Tungku untuk mewujudkan premis perniagaan agar usahawan B40 ini mendapat akses kepada premis-premis perniagaan sekaligus para usahawan ini dapat mempromosikan produk mereka kepada pasaran.
"Kalau dianggarkan dari program premis perniagaan ini, tidak kurang dari 100 usahawan akan mendapat manfaat daripada program-program yang dijalankan oleh SEDCO," kata beliau ketika ditemui media dalam Program Berbuka Puasa SEDCO Bersama Media, pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan, untuk projek kedai SEDCO Baru yang dilancarkan atau sedang dibangunkan kini ialah di Matunggong dan Weston masing-masing sebanyak 10 unit.
"SEDCO juga dalam perancangan untuk akan kita lancarkan mungkin pada pertengahan tahun ini projek kedai di Padas Damit dan juga di Tungku," ujarnya.
Menurut beliau lagi, lebih 50 premis projek kedai SEDCO di seluruh Sabah dijangkakan siap pada tahun ini meliputi kawasan luar bandar termasuk di Tungku, Kampung Padas Damit, Matunggong, Weston dan Kalabakan.
Selain itu, Haizar turut berkata SEDCO akan mengadakan program Bazaria yang akan memberi peluang kepada para usahawan kecil dan sederhana bagi mempromosikan hasil produk mereka.
"Selain itu, pada bulan Mei, SEDCO akan mengadakan Bazaria yang akan melibatkan usahawan-usahawan untuk mempromosikan produk mereka di pasaraya yang telah kita tetapkan," katanya.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )