PRN Sabah: PBS mahu tambahan 6 kerusi termasuk Melalap

Foto ihsan: PBS.


KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan hasrat untuk bertanding tambahan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Walau bagaimanapun, Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata  keputusan akhir akan ditentukan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).  

"Kami akan mempertahankan tujuh kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya lalu dan berbincang mengenai tambahan kerusi, termasuk Melalap. Namun, sebagai rakan dalam GRS, perbincangan lanjut perlu diadakan.  

"Kami hanya mahukan calon yang boleh menang dan akan menunggu keputusan daripada perbincangan di peringkat Setiausaha Agung parti-parti komponen," katanya kepada media selepas sambutan ulang tahun ke-40 PBS di Dewan Hakka, di sini semalam.

Dr Joachim juga berkata parti tersebut ingin menawan semula kerusi Melalap yang pernah dimenangi oleh penasihat agung Datuk Seri Radin Malleh selama empat penggal.

Walau bagaimanapun, kerusi Melalap dimenangi oleh Datuk Peter Anthony semenjak 2018 atas tiket Parti Warisan.

Pada 2023,  Peter meninggalkan Warisan dan menubuh Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM). 

Namun parti yang berumur 3 tahun itu kehilangan presidennya apabila Mahkamah Rayuan menolak permohonana rayuan bagi kes pemalsuan dokumen dan menjatuhkan hukaman penjara terhadap Peter. 

Apabila ditanya samada situasi KDM memberi kelebihan kepada PBS terutama untuk kerusi-kerusi yang mempunyai ramai pengundi KDMR , Dr Joachim berkata pihaknya menyerahkan keputusan kepada rakyat.  

"Saya tidak mahu komen tentang parti lain, tetapi rakyat tahu perjuangan kami. PBS sentiasa memperjuangkan hak rakyat Sabah, dan saya berharap mereka bersama kami," katanya.  

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; serta dua Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Yee Moh Chai dan Datuk Jahid Jahim.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama