Beliau berkata pemprosesan perhutanan huluan dan hiliran merupakan sektor yang berdiri sendiri selama ini yang bermakna produk huluan tidak sepadan sepenuhnya dengan permintaan hiliran.
"Melalui konsep EVC, barisan pengeluaran ini akan bersepadu dan akan meningkatkan produktiviti pada skala yang lebih besar," katanya ketika berucap semasa mengadakan lawatan kerja ke Jawala Plantation Industries Sdn Bhd di Sapulut dekat sini hari ini.
Hajiji berkata lawatan kerja yang pertama baginya kawasan Konsesi Perjanjian Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) sejak beliau memegang jawatan itu untuk melihat kemajuan fizikal inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor perhutanan iaitu Transformasi Ladang Hutan melalui Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022-2036) yang dilancarkan pada 22 Mac lepas.
Katanya melalui pelan tindakan itu, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk membangunkan 400,000 hektar ladang hutan dalam Kawasan Hutan Simpan Komersial menjelang 2036.
"Strategi pembangunan ladang hutan ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan sektor industri perkayuan hiliran daripada sumber bekalan bahan mentah keluaran hutan asli dan dalam masa sama mengekalkan daya saing sektor ini pada masa hadapan.
"Antara enam hingga lapan juta meter padu bekalan balak dijangka dihasilkan melalui penuaian 40,000 hektar ladang hutan setiap tahun.
"Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan mampan kepada industri perkayuan dan berpotensi menyumbang kira-kira RM11.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah, menyediakan 40,000 pekerjaan, dan mengembangkan lagi sektor pemprosesan kayu," katanya.
Katanya statistik Jabatan Perhutanan Sabah menunjukkan bahawa sejumlah 165,198 hektar ladang hutan telah dibangunkan oleh pemegang konsesi SFMLA di Hutan Simpan Komersial.
Beliau berkata ini menunjukkan kemajuan 41.3 peratus daripada sasaran 400,000 hektar di bawah Pelan Penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok dengan Sabah menyasarkan untuk menanam 40 juta pokok menjelang 2025.
"Sehingga kini,7.5 juta pokok telah di tanam di seluruh negeri dengan penglibatan syarikat konsesi SFMLA, agensi kerajaan, sektor swasta, murid sekolah dan orang ramai," katanya.
Sumber: --BERNAMA