CUBAAN SELUDUP TELUR PENYU GAGAL

 


SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 1,500 biji telur penyu yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran menerusi perairan laut Batu 3, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, sepasukan anggota PPM yang menjalankan pemantauan Ops Gelora Khas di kawasan kuala itu menemui sebuah bot pam yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Apabila dihampiri, bot terbabit dikatakan memecut laju sebelum terkandas di kawasan pantai dan juragan bot bertindak melarikan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas bot kemudian menemui tiga guni plastik berisi telur penyu dianggarkan bernilai RM2,700.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin, berkata pemeriksaan turut mendapati bot terbabit menggunakan nombor pendaftaran Filipina.

“Semua rampasan dibawa ke markas operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar.

“Jumlah keseluruhan rampas termasuk bot dan enjin adalah RM5,200,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.-Berita Sabah


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama