
KANAK-KANAK bukan warganegara merupakan kes jangkitan terbaru di antara dua kes positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini bagi Negeri Sabah.
Kanak-kanak tersebut yang berasal dari Kimanis, Papar dikesan selepas menjalani ujian saringan sebelum menjalani pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi, kanak-kanak itu dirujuk oleh Hospital Papar Ke HWKKS.
"Mengikut prosedur sedia ada di hospital, sebelum pembedahan dijalankan, saringan Covid-19 perlu dibuat" katanya lagi.
Satu kes lain iaitu kes ke-360 melibatkan seorang wanita warganegara berusia 30 tahun berasal dari Tuaran dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua pesakit Covid-19 sebelum ini iaitu kes ke-357 dan kes ke-359.
"Kes ke-357 telah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elibazeth 2 beberapa hari sebelum discaj.
"Saringan ke atas semua kontak kes ke-357 masih diteruskan di mana setakat ini, kes ke-359 dan ke-360 telah dikesan positif Covid-19.
Tambah Dr. Christina lagi, siasatan bagi ketiga-tiga kes ini masih diteruskan dan diperluaskan kepada kontak tempat kerja, sosial dan keluarga. -Sabah Info