PENAMPANG: Para peniaga yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu merekodkan kehadiran pengunjung di premis masing-masing.
Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang,Tang Yang Ming berkata, langkah itu dilaksanakan untuk memudahkan pihaknya menjejaki pergerakan pengunjung sekiranya terdapat kes jangkitan positif Covid-19 di kawasan premis tersebut.
“Usaha ini adalah bagi memastikan orang awam dapat dijejaki atau dihubungi jika terdapat kes jangkitan positif Covid-19 dilaporkan di premis yang dibenarkan beroperasi di Penampang.
“Dengan hal yang demikian, semua peniaga diarah untuk menyediakan buku rekod catatan serta merta bermula esok,”katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, mana-mana peniaga yang tidak mematuhi arahan tersebut akan diambil tindakan mengikut perundangan yang terdapat dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 dan undang-undang kecil Majlis yang sedang berkuatkuasa.
Jelasnya, pihak Majlis Daerah Penampang juga akan membatalkan kelulusan lesen sekiranya peniaga gagal untuk mematuhi arahan itu.- BorneoToday