Warga emas hilang ketika cari sarang burung walit ditemui selamat selepas lapan hari

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di Gua Tepadung, Segama di sini, ditemukan selamat hari ini selepas lapan hari kehilangan.

Mangsa, Ismail Ibrahim, 61, ditemui oleh pekerja Ladang Boonrich pada jam 12.43 tengah hari dalam keadaan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, mangsa dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu ketika berada di dalam gua berkenaan bersama dua rakannya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kedua-dua rakan mangsa keluar dari gua untuk mendapatkan sumber air minuman sebelum kembali semula ke lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja mereka kembali ke dalam gua, mangsa didapati telah hilang.

“Usaha pencarian awal yang dilakukan oleh rakan-rakannya tidak berjaya menemukan mangsa sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, keluarga mangsa yang menetap di Sandakan turut mengesahkan lelaki berkenaan tidak pulang ke rumah sejak tarikh kehilangan.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan melibatkan anggota bomba bersama beberapa agensi penyelamat lain.

Sumsoa berkata, operasi SAR pada hari keempat yang bermula pada jam 10.20 pagi memberi tumpuan pencarian di kawasan luar gua.

“Hasil pencarian, mangsa berjaya ditemukan oleh pekerja ladang pada jam 12.43 tengah hari.

“Mangsa berada dalam keadaan selamat dan pemeriksaan kesihatan awal telah dijalankan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, selepas memastikan tiada sebarang bahaya lain di lokasi, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.50 petang. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama