Tiga rumah, empat kenderaan musnah dalam kebakaran di Tamparuli

 TUARAN: Tiga rumah dan empat kenderaan musnah dalam kebakaran di belakang Gereja St Philip, Tamparuli, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, tiada mangsa dilaporkan terbabit atau mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.01 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 13 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal dan beberapa kenderaan.

“Dua rumah berkeluasan 25 x 26 kaki persegi musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi rumah berkeluasan 25 x 40 kaki persegi terbakar kira-kira 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran turut memusnahkan sebuah Proton Satria, Perodua Viva dan Mercedes-Benz sepenuhnya, manakala sebuah Isuzu D-Max mengalami kerosakan sekitar 20 peratus.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan oleh 15 anggota membabitkan lapan anggota BBP Tuaran dan tujuh anggota dari Balai Bantuan BBP Lintas.

“Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.11 pagi sebelum ditamatkan pada jam 3 pagi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama