TAWAU: Kehilangan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) sejak semalam berakhir dengan tragedi apabila mayatnya ditemukan terapung di sebuah kolam ikan di Jalan Sin Onn Tiku, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan pada kira-kira jam 9.05 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta siasatan lanjut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati mayat itu adalah seorang wanita berusia 29 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan di tempat kejadian serta ke atas tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan, kesan pergelutan atau petunjuk yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa sebelum ini dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya semalam selepas keluar dari rumah dan tidak pulang semula.
"Mangsa juga difahamkan merupakan seorang OKU,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati tiada tanda-tanda kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh badan mangsa.
“Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan pihak polis sedang menunggu keputusan ujian makmal lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan laporan kematian,” katanya.
Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.
