Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, acara tahunan yang memasuki edisi ke-31 itu kekal sebagai antara program kebudayaan paling ikonik di Sabah serta menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, Regatta Lepa bukan sahaja berperanan memelihara warisan budaya masyarakat Bajau Semporna, malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan keunikan seni tradisi dan identiti masyarakat maritim Sabah kepada dunia.
“Program ini dijangka menghimpunkan antara 40,000 hingga 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya dengan pelbagai aktiviti yang disusun untuk masyarakat setempat dan pelancong.
“Regatta Lepa merupakan acara tahunan yang menjadi kebanggaan Sabah dan terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan industri pelancongan negeri,” katanya pada sidang media Regatta Lepa 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, antara pengisian utama program ialah majlis perasmian pada 26 Jun, pelbagai acara sukan laut dan Malam Ratu Lepa pada 27 Jun, serta Larian Lepa dan program Lepakor pada 28 Jun.
Katanya, pertandingan Ratu Lepa yang menjadi antara acara kemuncak turut menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 30 peserta telah mendaftar setakat ini, termasuk dari luar daerah Semporna.
“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk pameran dan perarakan perahu lepa berhias serta perlumbaan perahu tradisional yang sentiasa menjadi tarikan utama acara tersebut,” jelasnya.
Kata Jafry, penganjuran Regatta Lepa yang diadakan setiap tahun itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara warisan budaya masyarakat Bajau di samping memperkukuh kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Semporna sememangnya antara destinasi pelancongan utama di Sabah dan acara seperti Regatta Lepa mampu meningkatkan lagi kehadiran pelancong serta memberi manfaat kepada komuniti setempat,” ujar beliau.
Orang ramai dan pelancong dijemput untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Regatta Lepa Semporna tahun 2026, sambil menikmati keunikan budaya, warisan dan semangat kebersamaan masyarakat di Sabah.

