KENINGAU: Seorang wanita maut manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Jalan Bingkor, Chanang Hill, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, kenderaan jenis Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.54 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 10.05 pagi dan mendapati terdapat lapan mangsa terbabit dalam kemalangan berkenaan.
“Seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dipercayai tercampak keluar dari kenderaan.
“Pasukan bomba turut berjaya mengeluarkan seorang mangsa wanita yang tersepit di dalam kenderaan, manakala enam lagi mangsa berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera terdiri daripada dua lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengadu sakit dada, seorang wanita berusia 40-an mengalami cedera ringan, seorang wanita berusia 23 tahun patah tangan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengalami sakit bahu.
Katanya, dua lagi mangsa turut mengalami kecederaan namun maklumat lanjut mengenai identiti mereka belum diperoleh.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Severinus berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.51 pagi selepas pihak bomba memastikan kawasan kejadian selamat dan tiada sebarang bahaya lain.
