Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, tambahan peruntukan itu memberi ruang lebih luas kepada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memperkukuh pembangunan jalan raya, bekalan air serta bekalan elektrik yang sekian lama menjadi keutamaan rakyat.
Menurutnya, perkembangan berkenaan menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
"Tambahan peruntukan ini diyakini mampu mempercepat penyelesaian pelbagai isu asas rakyat yang menjadi cabaran utama pembangunan negeri.
"Ia juga membolehkan lebih banyak projek infrastruktur dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azrul berkata, antara bukti jelas komitmen kerajaan ialah kemajuan Projek Pan Borneo Sabah yang kini berada pada tahap memberangsangkan.
Katanya, projek sepanjang 706 kilometer itu melibatkan 35 pakej pembinaan dengan kos keseluruhan hampir RM25 bilion dan menjadi antara projek infrastruktur terbesar di negeri ini.
"Sehingga April lalu, sebanyak 288 kilometer jajaran di bawah Fasa 1A telah mencapai kemajuan hampir 88 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
"Pada masa sama, pelaksanaan Fasa 1B yang melibatkan 388 kilometer sedang diteruskan secara berperingkat," katanya.
Beliau berkata, apabila siap kelak, Pan Borneo Sabah akan menjadi tulang belakang sistem perhubungan negeri yang menghubungkan kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman dengan lebih cekap serta selamat.
![]() |
| Infografik dikongsikan Azrul. |
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 40 projek bernilai RM687.7 juta telah dan sedang dilaksanakan di seluruh Sabah membabitkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 126.47 kilometer.
"Daripada jumlah itu, 78.8 kilometer telah siap sepenuhnya, manakala 25.4 kilometer sedang dalam pembinaan dan 22.3 kilometer lagi berada pada peringkat semakan reka bentuk.
"Pelaksanaan projek ini memberi manfaat besar kepada rakyat terutama dari segi akses perhubungan, keselamatan jalan raya dan kemudahan pengangkutan hasil pertanian," katanya.
Azrul berkata, pelbagai daerah termasuk Beaufort, Beluran, Keningau, Kota Belud, Kuala Penyu, Kudat, Lahad Datu, Nabawan, Papar, Pitas, Ranau, Sandakan, Tambunan, Tawau, Telupid, Tenom dan Tuaran turut menerima manfaat daripada pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau turut menegaskan penyelesaian tuntutan Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih yang dikutip Persekutuan di Sabah perlu terus dipercepatkan kerana ia adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, penyelesaian perkara itu penting bagi memperkukuh kedudukan kewangan negeri dan meningkatkan keupayaan Sabah melaksanakan lebih banyak projek pembangunan pada masa depan.
"Momentum pembangunan yang sedang berlaku ketika ini perlu diteruskan supaya jaringan perhubungan yang lebih baik dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah," katanya.

