KOTA KINABALU: Tsunami setinggi 0.4 meter dijangka akan melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao, Filipina.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataannya memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada jam 7.37 pagi.
“Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 dengan kedalaman 50 km telah berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi, 8 Jun 2026.
“Gempa bumi tersebut berpusat pada latitud 5.7° Utara dan longitud 125.1° Timur,” katanya.
Menurutnya, gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna.
"Berdasarkan analisis MET Malaysia, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengahari, 8 Jun 2026,” jelasnya.
Dalam pada itu, orang ramai yang berada di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
"Orang awam di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” ujar beliau.
MET Malaysia berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan akan mengeluarkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan baharu berkaitan kejadian itu.
“Sila dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan serta menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” tambahnya.
