TAWAU : Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM12,000 serta penjara terhadap tiga lelaki, termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, selepas mereka mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan.
Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Warga Indonesia, Ardi Jamal, 23, mengaku bersalah atas tiga kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol, memandu tanpa lesen sah dan memandu kenderaan tanpa perlindungan polisi insurans, masing-masing mengikut Seksyen 45A(1), Seksyen 26(1) dan Seksyen 90(1) akta berkenaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Bagi kesalahan memandu tanpa lesen dan tanpa perlindungan polisi insurans, tertuduh masing-masing dihukum penjara satu bulan.
Terdahulu, di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memasuki negara ini tanpa dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dengan kesemua hukuman diperintahkan berjalan secara berasingan.
Mengikut fakta kes, Ardi ditahan dalam Operasi Bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Bunga Raya pada 1.45 pagi, 24 Mei lalu selepas ujian mendapati kandungan alkohol dalam darahnya sebanyak 130 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah.
Dalam kes berasingan, Hellarey Anak Merapoh, 37, dihukum penjara sembilan bulan dan didenda RM10,000 atau tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol sebanyak 213mg bagi setiap 100 mililiter darah.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun manakala sabitan kesalahan itu diendoskan pada lesen memandunya
Menurut fakta kes, Hellarey terlibat dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah, Merotai pada kira-kira 7 malam, 21 Mac lalu apabila Toyota Avanza yang dipandunya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 28 tahun.
Hasil ujian darah mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh melebihi had yang dibenarkan sehingga menyebabkan kemalangan, namun tidak membabitkan sebarang kecederaan.
Sementara itu, Timothy Ebony Tony, 38, dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol, memandu tanpa lesen sah dan memandu tanpa perlindungan polisi insurans.
Tertuduh ditahan dalam Operasi Bersepadu BSPT IPD Tawau di Batu 5, Jalan Apas pada 1.30 pagi, 24 Mei lalu.
Mahkamah turut memerintahkan Timothy hilang kelayakan untuk memohon atau mendapatkan lesen memandu selama 12 bulan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa BSPT IPD Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
