KOTA KINABALU: Sebanyak 8,862 kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan berjaya didaftarkan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dalam tempoh tiga hari pelaksanaan penambahbaikan mekanisme itu yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan kelayakan itu merupakan antara penambahbaikan utama yang dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan subsidi bahan api terus disalurkan secara bersasar.
Katanya, setakat 1 hingga 3 Jun, sebanyak 8,524 pikap diesel, 329 jip diesel dan sembilan jip petrol telah berjaya didaftarkan di bawah mekanisme berkenaan.
“Peluasan kelayakan SKDS dan SKPS ini melibatkan kenderaan jenis jip dan pikap yang digunakan dalam sektor pengangkutan darat barangan.
“Selain didaftarkan atas nama syarikat atau entiti perniagaan, syarat kelayakan turut mengambil kira kategori kegunaan yang direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta status kenderaan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, peluasan itu melibatkan kenderaan di bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon dengan berat antara 950 kilogram hingga 7,500 kilogram.
Bagaimanapun, kenderaan yang didaftarkan di bawah kategori kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kategori khas lain serta Barangan-Tiada Permit atau Off-Road tidak termasuk dalam senarai kelayakan.
Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan barangan bagi memperkukuh mekanisme kawal selia dan mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan fleet card.
Beliau berkata setiap fleet card kini diberikan kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bergantung kepada jenis kenderaan yang layak di bawah SKDS.
“Penetapan kuota ini dibuat berdasarkan analisis penggunaan sebenar yang direkodkan sepanjang hampir dua tahun pelaksanaan SKDS sejak 2024.
“Bagi syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai keperluan operasi melebihi kuota ditetapkan, KPDN menyediakan mekanisme rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP),” ujarnya.
Menurut beliau, permohonan rayuan perlu disertakan justifikasi keperluan operasi serta rekod penggunaan sebenar sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga bulan.
Setakat 3 Jun lalu, sebanyak lapan syarikat telah mengemukakan rayuan tambahan kuota melibatkan 82 kenderaan dan permohonan tersebut sedang diproses untuk pertimbangan JKSP.
Armizan berkata KPDN akan terus menambah baik pelaksanaan SKDS dan SKPS bagi memastikan subsidi bahan api sampai kepada golongan yang layak selain mengekang ketirisan akibat penyelewengan dan penyeludupan.
