PENAMPANG: Kegiatan perjudian sabung ayam yang dipercayai turut membabitkan penganiayaan haiwan terbongkar apabila polis menyerbu sebuah rumah kampung tanpa nombor di Kampung Buit Hills, di sini, semalam.
Dalam serbuan menerusi Ops Dadu kira-kira jam 3 petang itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 40 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang hasil maklumat yang diterima.
Menurutnya, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.
"Bagaimanapun, hasil tindakan pantas pasukan serbuan berjaya menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian itu.
"Polis turut merampas lapan ekor ayam hidup, satu gelung getah yang dipercayai digunakan sebagai gelanggang sabung ayam, beberapa peralatan berkaitan serta wang tunai RM606 yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
"Hasil semakan mendapati semua tangkapan tidak mempunyai rekod sabitan jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing ke atas mereka didapati negatif," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki membabitkan perbuatan penganiayaan haiwan melalui aktiviti sabung ayam.
"Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Sammy berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti perjudian haram serta perbuatan yang melibatkan penganiayaan terhadap haiwan.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.
