PENAMPANG: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas laluan kebun di kawasan hutan Kampung Togudon, di sini, pagi tadi, selepas dilaporkan hilang sejak lima hari lalu.
Mangsa berusia 48 tahun ditemui penduduk kampung kira-kira jam 6 pagi sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat ahli keluarganya pada 10 Jun lalu sebelum memasuki kawasan hutan bagi memeriksa dan menjaga pukat kelawar miliknya.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan sebuah mesin pemotong kayu (chainsaw) serta beberapa barangan peribadi mangsa berhampiran tempat mayat ditemui.
"Berpandukan pemerhatian awal di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah akibat dibidas oleh pokok yang ditebang sendiri ketika menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan.
"Pemeriksaan tempat kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian.
"Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut," katanya.
Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa.
Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman atau menghubungi IPD Penampang.
