Taktik sorok drum diesel dalam peti ikan terbongkar

SEMPORNA: Taktik menyembunyikan drum berisi minyak diesel bersubsidi di dalam peti ikan sebuah lori bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terbongkar dalam Ops Tiris 4.0 yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Ketua Cawangan KPDN Cawangan Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah, berkata sepasukan pegawai penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan di sekitar Kampung Simunul mengesan sebuah lori Mitsubishi berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Ais Box, Simunul.

Beliau berkata, seorang lelaki yang dipercayai terbabit sempat melarikan diri ke kawasan perumahan atas air Kampung Simunul sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori itu menemukan 12 unit drum plastik berkapasiti 200 liter, sebuah pam elektrik, hos serta sebuah drum yang masih mengandungi minyak disyaki diesel sebanyak 200 liter.

"Siasatan awal mendapati lori yang dilengkapi peti ikan itu dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan drum sebelum minyak diesel bersubsidi dipindahkan dan disimpan secara tidak sah di kawasan setinggan atas air yang sukar dipantau pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Satunlucy berkata, nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM430, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dan peralatan yang digunakan dianggarkan berjumlah RM25,530.

Menurutnya, KPDN Cawangan Semporna membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.

"KPDN akan terus memperhebatkan aktiviti penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan kawalan bekalan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!