KOTA KINABALU: POIC Sabah Sdn Bhd komited menutup ruang yang boleh membuka peluang kepada amalan rasuah dengan memperkukuhkan budaya integriti dan tadbir urus yang telus dalam organisasi.
Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, usaha membanteras rasuah perlu bermula dengan kesedaran semua warga kerja untuk tidak memberi ruang kepada faktor yang mendorong perlakuan itu berlaku.
“Rasuah lazimnya berpunca daripada tiga faktor utama yang dikenali sebagai ‘Segitiga Penipuan’, iaitu peluang, keperluan dan pembenaran terhadap perbuatan yang salah.
“Apabila seseorang merasakan tiada siapa yang memerhatikan, apabila desakan peribadi menjadi terlalu berat dan apabila seseorang mula membenarkan perbuatan yang salah itu dalam fikirannya sendiri, maka pada ketika itulah rasuah mula menular.
“Oleh sebab itu, ikrar yang kita lafazkan hari ini bertujuan menutup pintu kepada ketiga-tiga faktor tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) POIC Sabah Sdn Bhd yang turut disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, di sini, pada Jumaat.
Madius berkata, integriti bukan sesuatu yang hadir secara automatik, sebaliknya perlu dibina secara berterusan melalui dasar yang jelas, prosedur yang berkesan dan kepimpinan yang menunjukkan teladan terbaik.
Katanya, warga kerja juga perlu memahami bahawa rasuah bukan hanya melibatkan wang ringgit, malah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk pemberian hadiah yang tidak wajar, penyalahgunaan maklumat sulit dan tindakan yang memberi kelebihan tidak adil kepada pihak tertentu.
“Setiap individu perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri sama ada tindakan yang dilakukan selari dengan etika kerja dan dasar organisasi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan warga kerja tampil membuat laporan melalui saluran yang betul sekiranya mempunyai maklumat atau mengesyaki berlakunya salah laku dalam organisasi.
Katanya, tindakan melaporkan rasuah bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya mencerminkan keberanian dan komitmen dalam mempertahankan integriti organisasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPRM Sabah atas kerjasama berterusan dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah dan pembudayaan integriti di POIC Sabah.
“Marilah kita jadikan integriti sebagai sebahagian daripada identiti kita, bukan sahaja hari ini tetapi dalam setiap tugas, keputusan dan tindakan yang dilakukan demi memastikan POIC Sabah terus berkembang sebagai organisasi yang bersih, telus dan dipercayai,” tegas beliau.
