PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali turun padang meninjau sendiri status pelaksanaan projek-projek penstabilan bekalan air di daerah ini susulan Mesyuarat Khas mengenai perkembangan projek berkenaan yang diadakan pada 15 Jun lalu.
Lawatan itu memberi tumpuan kepada dua projek utama yang sedang dilaksanakan iaitu Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon daripada kapasiti 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JLH serta Projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang.
Armizan berkata, pemantauan di lapangan penting bagi memastikan projek yang dilaksanakan berjalan mengikut jadual dan mampu menyumbang kepada usaha menstabilkan bekalan air untuk penduduk Papar.
“Saya turun sendiri meninjau status semasa projek-projek yang sedang berjalan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kemajuan pelaksanaannya.
“Usaha ini penting bagi memastikan projek yang dirancang dapat memberi impak kepada penyelesaian isu bekalan air yang sering dihadapi penduduk di kawasan Papar,” katanya menerusi satu kenyataan pada laman rasmi miliknya, hari ini.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau keadaan di Loji Emergency Water Supply Scheme (EWSS) dan Loji JETAMA Limbahau yang dilaporkan mengalami masalah kekeruhan air mentah atau Nephelometric Turbidity Unit (NTU) sepanjang minggu ini.
Menurutnya, kedua-dua loji berkenaan terpaksa dihentikan operasi sementara pada tempoh tertentu berikutan tahap kekeruhan air mentah di muka sauk yang tidak memenuhi standard untuk dirawat.
Beliau berkata, operasi loji hanya dapat diteruskan semula selepas bacaan kekeruhan air kembali mencapai tahap yang membolehkan proses rawatan dilaksanakan dengan selamat dan berkesan.
Katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan isu bekalan air di Papar dapat ditangani secara berperingkat menerusi pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang sedang berjalan.
“Keutamaan kita adalah memastikan rakyat mendapat bekalan air yang lebih stabil dan berkualiti melalui pelaksanaan projek yang telah dirancang,” ujarnya.
