Table Top Inter-Agensi Penampang Tingkatkan Kesiapsiagaan Hadapi Bencana

 


PENAMPANG : Program Table Top Pengurusan Bencana Bersepadu Bersama Inter-Agensi Daerah Penampang Tahun 2026 bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

Pegawai Kesihatan Daerah Penampang, Dr. Euphrasia Anak Bari berkata program itu bertujuan adalah untuk mengemaskini pelan tindakan bencana khusus bagi pihak Pejabat Kesihatan Daerah Penampang.

"Program ini dilaksanakan bertujuan mengenal pasti bentuk koordinasi serta jalinan kerjasama antara semua agensi di daerah ini apabila berdepan dengan situasi bencana sebenar.

"Saya berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu serta input yang diperoleh sepanjang program bagi memperkemas koordinasi di peringkat agensi masing-masing," katanya ketika ditemui media pada program tersebut yang berlangsung di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan, Ramcy Sapin menyifatkan program itu berjaya meningkatkan kefahaman mengenai peranan agensi terlibat dan wajar dijadikan sebagai acara tahunan dengan penglibatan lebih banyak agensi serta sukarelawan komuniti bagi memperkukuh pengurusan bencana alam pada masa hadapan.

Peserta program, Afizul Ag Amin pula menyatakan bahawa latihan tabletop tersebut berjaya membantu setiap agensi memahami peranan masing-masing serta fungsi rakan strategik dengan lebih jelas dalam pengurusan kecemasan.

Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan serta diperluaskan dengan pelaksanaan simulasi di lapangan pada masa hadapan demi meningkatkan kefahaman secara lebih praktikal.

Program yang dianjurkan Pejabat Kesihatan Penampang itu adalah yang julung kali diadakan dan menghimpunkan seramai 68 peserta daripada pelbagai agensi dari sekitar Penampang selain turut mencatat sejarah tersendiri apabila melibatkan pelbagai agensi luar kerana latihan sebelum ini dilaksanakan secara dalaman.

Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!