KOTA KINABALU : Anak jati kelahiran Papar, Datuk Ag Sharin
Alimin dan Datuk Masnah Matsalleh dianugerahkan Tokoh Ma'al Hijrah sempena
Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M.
Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang
di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Dewan Sa'adah, Wisma MUIS, di sini pada
Rabu.
Kedua-dua tokoh tersebut masing-masing menerima wang tunai
RM25,000 sumbangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Perbadanan Baitulmal
Negeri Sabah (PBNS), sebuah trofi, sijil penghargaan serta hadiah iringan
berupa Pakej Menunaikan Umrah sumbangan Tabung Haji Travel dan Set Peranti
Digital sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.
Ag Sharin yang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang
Usuluddin dan Kemasyarakatan serta Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam
memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan masyarakat antaranya
pembinaan dan penambahbaikan masjid, dewan, bilik kuliah.
Di peringkat negeri, beliau berpengalaman luas dalam
pentadbiran awam, penyelarasan antara agensi serta penggubalan dasar yang
memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Masnah pula memperoleh pendidikan awal di Maktab Sabah dan
kemudian melanjutkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM) sebelum meraih
Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Edith Cowan University,
Australia.
Bekas penjawat awam negeri itu mempunyai pengalaman luas
lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam negeri Sabah antaranya beliau pernah
memegang pelbagai jawatan penting antaranya Pengarah Hal Ehwal Wanita Sabah,
Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah serta
Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri Sabah.
Antara sumbangan besar beliau adalah penubuhan Unit Bantuan
Guaman Hal Ehwal Wanita dan memulakan operasi Rumah Perlindungan Wanita Sabah
selain memperkasa pembangunan modal insan dan tadbir urus pihak berkuasa
tempatan di negeri ini.
Masnah juga telah memainkan peranan penting di kala pandemik
COVID-19 ketika itu menjalankan tugas sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas
Imunisasi COVID-19 Sabah bagi memastikan pelaksanaan program vaksinasi berjalan
lancar di seluruh negeri.
Sumbangan beliau diteruskan dalam peringkat nasional sebagai
Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dalam usaha memperkukuh pengurusan
dan pembangunan perkhidmatan awam negara.
Pada majlis tersebut Tun Musa yang diiringi Ketua Menteri,
Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,
Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan
berkenaan turut menyampaikan Anugerah Pengurusan Masjid Cemerlang kepada Masjid
Imam Haji Awang Hashim Pekan Sipitang (Johan), Masjid Jamek Yusuf Al-Qardhawi
Telupid (Naib johan) dan Masjid Haji Mohd Yaakub Misir Kg. Beringgis (tempat
ketiga) yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, RM15,000 dan
RM10,000 sumbangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan PBNS, trofi, sijil
penghargaan serta hadiah iringan sumbangan Sabah Economic Development
Corporation (SEDCO).
Turut disampaikan, Anugerah Pengurusan Ar-Raudah Cemerlang
(Taman Perkuburan Islam) kepada Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Pekan
Menumbok (Johan), Tanah perkuburan Mihah Kg. Merintaman Sipitang (Naib johan),
Taman Firdaus Tanah Perkuburan Kg. Pimping Membakut (tempat ketiga), yang
masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000,
sumbangan Kerajaan Negeri Sabah, trofi, sijil pengiktirafan serta hadiah
iringan sumbangan Sawit Kinabalu dan Yayasan Bumiputera Sabah.
Antara pengisian lain termasuk Ceramah Khas Ma'al Hijrah
yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Dr. Badli Shah
Alauddin, serta persembahan nasyid gabungan suara antara Kumpulan Al Munzir
(SMAN Keningau), Mohd Azri Naim Jasmin serta Dayang Izyan Zayanie Irraril,
diiringi Kumpulan Gambus Pesona Tradisi dengan membawa lagu 'Al-Jannah', Tahun
Baharu Hijrahku serta Lagu Tema Maal Hijrah.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan alunan bacaan ayat-ayat
suci al-Quran yang diperdengarkan oleh qari daripada Perak Darul Ridzuan, yang
juga Johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Kebangsaan
2026, Cik Hasnil Taqiyuddin Cik Sazali dengan bacaan bermula Surah Ali Imran
102.
Antara yang hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk
Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi,
Datuk James Ratib; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri
Kreatif; Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan, Setiausaha
Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong.

