Sambutan Maal Hijrah Diperluas Ke Lebih 20 Daerah di Sabah

 

KOTA KINABALU: Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448h tahun ini diperluaskan ke lebih 20 daerah di seluruh negeri menerusi pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2026, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pelbagai program diatur termasuk majlis pelancaran sambutan berkenaan yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Dewan Sa'adah Wisma MUIS.

"Semua program ini diadakan untuk menyuburkan sambutan Maal Hijrah serta menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang mempunyai banyak pengajaran dan hikmah untuk dihayati oleh umat Islam," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Doa Kesyukuran Sempena Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Awal Tahun 1448 Hijrah Peringkat Negeri Sabah di Masjid Negeri Sabah, di sini, pada Selasa.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, program yang dilaksanakan bukan sahaja bertujuan menyemarakkan sambutan Maal Hijrah, malah memberi peluang kepada masyarakat menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang sarat dengan pengajaran, ibrah dan teladan untuk dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.

Terdahulu, Tun Musa menghadiri majlis berkenaan yang dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bongsu @ Aziz Jaafar sebelum diteruskan dengan Solat Maghrib berjemaah, bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat yang diketuai Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Suhaidi Kuanting.

Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Johan Qari Kebangsaan 2026, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali serta tazkirah khas bertajuk "Madani Dihayati, Ummah Diberkati" yang disampaikan Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin.

Selesai tazkirah, para jemaah menunaikan Solat Isyak berjemaah yang turut diimamkan Ustaz Suhaidi.

Tun Musa meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra bersama kira-kira 2,000 jemaah yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis pada jam 9.00 malam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun;  Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!