KOTA KINABALU : Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah
(SPANS) menerima kira-kira 500,000 permohonan bagi pengisian jawatan pada tahun
2025.
Pengerusi SPANS, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, jumlah itu
melibatkan dua siri pengambilan yang mana siri pertama menerima kira-kira
230,000 permohonan manakala siri kedua menerima lebih 150,000 permohonan.
“Apabila kita mengiklankan jawatan-jawatan kosong, bilangan
permohonan yang diterima amat menggalakkan. Secara keseluruhan, jumlah
permohonan yang diterima hampir 500,000.
"Manakala dari segi lantikan kita melihat kepada
keperluan. Jabatan-jabatan atau kementerian-kementerian akan kemukakan kepada
SPANS jawatan kosong yang perlu diisi dan SPANS akan iklankan," katanya
ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri,
Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menurut Sukarti, kunjungan berkenaan merupakan kunjungan
tahunan yang bertujuan untuk menyerahkan laporan tahunan aktiviti SPANS
sepanjang tahun lalu.
Sementara itu, beliau memaklumkan SPANS turut terlibat dalam
pelbagai program antaranya menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya-suruhanjaya
Perkhidmatan Awam seluruh Malaysia pada tahun lepas.
"SPANS juga dijadual menghadiri pertemuan bersama
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan negeri-negeri lain pada Julai ini
bagi berbincang dan berkongsi pengalaman tentang pengurusan sumber manusia di
negeri masing-masing.
"Selain itu, ahli-ahli SPANS juga aktif ke
daerah-daerah bagi menjalankan sesi temu duga untuk pengisian jawatan yang
diiklankan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Hadir sama, ahli-ahli SPANS, Datuk Awang Jami @ Awang
Shamsi, Datuk Janet Chee, Datuk Idrus Shafie, Datuk Iman Ali, Datuk Patrick Tan
dan Ariffin Gadait.
