89 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu JIM Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 89 warga asing ditahan dalam beberapa operasi bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bersama agensi penguat kuasa lain di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu dijalankan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.

Menurutnya, di Kota Kinabalu, operasi bersama Unit Perlesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memeriksa 234 individu sebelum menahan 15 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

"Tangkapan membabitkan 14 warga Filipina terdiri daripada tujuh lelaki dan tujuh wanita dewasa, selain seorang wanita warga Indonesia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, di Lahad Datu pula, operasi bersepadu bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memeriksa 141 individu dengan 62 warga asing ditahan.

Katanya, tangkapan itu membabitkan 54 warga Filipina terdiri daripada 33 lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan, selain lapan warga Indonesia iaitu lima lelaki dan tiga wanita dewasa.

"Di Sandakan, operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah memeriksa 66 individu dan menahan 12 warga asing terdiri daripada 10 warga Filipina dan dua warga Indonesia," katanya.

Sitti Saleha berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Menurutnya, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI dan memastikan kedaulatan undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara.

"JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen dan tindakan tegas akan terus diambil," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!