TAWAU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan tanpa permit dalam satu operasi penguatkuasaan di bawah Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Mahkamah turut memerintahkan 160 liter minyak petrol dan dua tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 14 kilogram yang dirampas dijual, manakala hasil jualan diserahkan kepada kerajaan.
Selain itu, sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran bersama dua unit enjin pam yang digunakan dalam kes berkenaan turut dilucuthakkan kepada pihak pendakwaan untuk tujuan pelupusan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Zulkifli Baco.
Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, kejayaan pendakwaan itu membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi.
Menurutnya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang didapati terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan barang kawalan, terutama di kawasan perairan dan sempadan negara.
"Operasi menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) akan terus dipertingkatkan bagi memastikan bekalan bersubsidi sampai kepada golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan yang merugikan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang berkaitan perdagangan dan bekalan.
Katanya, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang masih berlaku di kawasan berisiko tinggi.
