Abang didakwa rogol adik kandung, mangsa hamil 20 minggu

LAHAD DATU: Seorang operator kilang kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol adik kandungnya yang ketika kejadian berusia 17 tahun sehingga menyebabkan remaja itu hamil 20 minggu.

Tertuduh berusia 31 tahun dari Kunak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhailla Selag.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol mangsa yang mempunyai pertalian darah dengannya, iaitu suatu hubungan yang tidak dibenarkan di sisi undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 2 petang hingga 5 petang di sebuah rumah pekerja ladang di Kunak pada Disember tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh diwakili peguam Sylyester Kuan.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon agar tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan alasan dia menetap jauh daripada mangsa selain memberi jaminan tidak akan mengganggu atau menghubungi mana-mana saksi pendakwaan sepanjang tempoh prosiding.

Bagaimanapun, Shearil Aizad membantah permohonan itu dengan alasan tertuduh merupakan abang kandung kepada mangsa dan berpotensi mempengaruhi atau mengganggu saksi pendakwaan sekiranya dibebaskan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 3 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia (DNA) dan laporan perubatan mangsa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh terus ditahan reman tanpa sebarang tawaran jaminan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama