Sedekad Pengakap Kelana C Tawau berkhidmat bersama masyarakat

TAWAU : Pasukan Kelana C Tawau telah meraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 penubuhannya dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Aqidah Tawau dan majlis tersebut berlangsung penuh bermakna yang menghimpunkan ahli-ahli pengakap, pemimpin serta para jemputan khas bagi mengenang perjalanan dan pencapaian pasukan sepanjang sedekad penubuhannya.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh En. Mohd Dawud Abd Rashid selaku Pesuruhjaya Pengakap Zon 1 Tawau. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa setiap al Pengakap Kelana perlu menerapkan nilai kesukarelawanan, kepimpinan dan keprihatinan terhadap masyarakat sebagai asas utama dalam membentuk generasi belia yang berwibawa serta mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti.

Menurut beliau, semangat sukarelawan yang tinggi serta komitmen dalam perkhidmatan masyarakat merupakan elemen penting yang perlu terus diperkasakan dalam kalangan ahli Pengakap Kelana agar gerakan kepengakapan terus relevan dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Sepanjang 10 tahun penubuhannya, Pasukan Kelana C Tawau telah melalui pelbagai dugaan dan cabaran. Namun, berkat kesefahaman, perpaduan serta kerjasama yang erat dalam kalangan ahli dan pemimpin, pasukan ini berjaya mengharungi setiap cabaran yang mendatang. Malah, pasukan ini turut memainkan peranan penting dalam membimbing dan melahirkan ramai ahli pengakap yang berwawasan, berdisiplin dan berjiwa sukarelawan.

Sambutan ulang tahun ini juga menjadi platform untuk menghargai jasa serta pengorbanan semua pemimpin dan ahli yang telah menyumbang kepada perkembangan Pasukan Kelana C Tawau sejak penubuhannya sehingga kini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Chung Kon Pin, selaku Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Tawau; Lee Chee Kiong, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tawau; serta Mohd Faiz Ridwan Mohd Noor, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Tawau.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar, penyampaian penghargaan kepada individu yang banyak berjasa kepada pasukan serta pemotongan kek ulang tahun sebagai simbolik meraikan satu dekad kecemerlangan Pasukan Kelana C Tawau dalam memperkasa gerakan kepengakapan di daerah ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!