SJA perkenal Anugerah MOJO pada KPA 2027

Barisan pemenang anugerah sempena malam Kinabalu Press Award


KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) memperkenalkan kategori baharu iaitu Mobile Journalism (MOJO) pada Kinabalu Press Awards (KPA) 2027 sebagai usaha menggalakkan pengamal media di Sabah meneroka kaedah pelaporan digital yang semakin berkembang pada masa kini. 

Presidennya, Maria Doksil berkata, langkah itu diambil bagi memastikan wartawan di negeri ini mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap media yang kini dipengaruhi oleh perkembangan teknologi, media sosial dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, walaupun terdapat segelintir pengamal media di Sabah yang telah berkecimpung dalam MOJO, jumlahnya masih kecil dan perlu diperluaskan bagi memenuhi keperluan industri masa kini.

“Sebagai galakan kepada perkembangan MOJO di Sabah, SJA akan memperkenalkan Anugerah MOJO pada KPA 2027.

“Kita membuat pengumuman awal supaya pengamal media mempunyai masa yang mencukupi untuk merancang dan menghasilkan laporan berkonsepkan MOJO bagi dipertandingkan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 yang berlangsung di hotel Pacific Sutera di sini, pada malam Sabtu. 

Maria berkata, dunia kewartawanan kini berdepan perubahan besar susulan perkembangan teknologi digital yang mengubah cara masyarakat memperoleh dan mengakses maklumat.

Katanya, pengamal media tidak boleh ketinggalan dalam mengikuti perkembangan tersebut jika mahu terus memainkan peranan sebagai sumber maklumat yang dipercayai masyarakat.

“Teknologi, media sosial dan AI telah banyak mengubah landskap media hari ini. 

“Kita perlu meneroka pendekatan baharu termasuk MOJO untuk memastikan kewartawanan kekal relevan di mata masyarakat,” jelasnya.

Tambah beliau, meskipun kandungan digital kini boleh dihasilkan dengan pantas oleh pelbagai pihak termasuk pencipta kandungan, namun peranan wartawan tetap penting dengan melalui proses semakan fakta, pengesahan maklumat dan penyuntingan sebelum diterbitkan.

Dalam pada itu, Maria berkata SJA akan terus menyokong usaha memperkasakan profesionalisme kewartawanan di Sabah menerusi pelbagai program pembangunan kapasiti dan pengiktirafan kepada pengamal media.

KPA tahun ini menerima sebanyak 354 penyertaan berbanding 268 penyertaan pada tahun sebelumnya, selain memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Anugerah Fotografi Hiburan, Kebudayaan dan Kesenian serta Anugerah Wartawan Harapan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!