Harmoni MADANI Diperkasa Perkukuh Perpaduan Nasional

 

KOTA KINABALU : Inisiatif Harmoni MADANI diperkasa bagi memperkukuh perpaduan nasional berteraskan konsep Faham, Hormat, Terima dan Meraikan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha itu adalah untuk membina masyarakat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian.

"Kepelbagaian budaya, agama, bahasa dan etnik di Malaysia merupakan kekuatan besar negara yang perlu dipelihara dengan penuh kebijaksanaan.

"Malaysia mempunyai lebih 200 kumpulan etnik dan subetnik yang memerlukan pendekatan perpaduan yang menyeluruh, sistematik dan berterusan, terutama dalam mendepani cabaran baharu era digital yang semakin kompleks," katanya ketika berucap merasmikan Program Dialog Harmoni Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, pada Selasa.

Menurut Aaron, perkembangan teknologi maklumat dan media sosial telah membuka ruang interaksi yang lebih luas, namun pada masa sama turut membawa cabaran yang boleh mengancam keharmonian negara.

"Apabila tiada interaksi, timbul prasangka yang boleh menyebabkan lahir ketidakpercayaan dan apabila ketidakpercayaan semakin menebal, perpaduan akan mula terhakis.

"Oleh itu, dialog dan musyawarah adalah jalan terbaik untuk merapatkan jurang ini," jelas beliau.

Aaron berkata, pendekatan Harmoni MADANI yang berteraskan empat prinsip utama itu bukan sekadar slogan, sebaliknya merupakan panduan praktikal dalam membentuk sikap masyarakat yang lebih terbuka, inklusif dan saling menghargai perbezaan.

Beliau menegaskan Kerajaan MADANI akan terus komited memperluas pelbagai program perpaduan bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu merupakan salah satu inisiatif utama kerajaan dalam memperkukuh agenda integrasi nasional serta memperluas ruang dialog antara agama dan budaya di peringkat akar umbi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato Haslina Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!