KOTA KINABALU: Syarikat yang mengendalikan kenderaan sektor pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan digesa mendaftar segera di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan kelayakan menikmati diesel bersubsidi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan SKDS telah dibuka sejak empat Mei lalu menerusi portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Menurutnya, proses permohonan kini lebih mudah berikutan integrasi sistem dengan beberapa agensi berkaitan termasuk Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
“Permohonan itu juga membolehkan kelulusan diberikan dalam tempoh yang lebih singkat sekiranya dokumen yang dikemukakan lengkap.
“Selepas mendapat kelulusan, syarikat perlu memohon fleet card daripada syarikat minyak yang mengambil bahagian seperti Petronas, Shell dan Petron.
“Kita menggalakkan semua syarikat yang layak supaya membuat permohonan segera dan tidak menunggu sehingga saat akhir.
“Penggunaan wajib fleet card SKDS untuk mendapat manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan dan awam akan dikuatkuasakan pada satu masa yang akan diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan SmartPat Fleet Card SKDS Negeri Sabah di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, pelaksanaan SKDS bertujuan memastikan subsidi diesel dapat disalurkan secara lebih bersasar kepada pihak yang benar-benar layak selain meningkatkan kecekapan pemantauan dan penguatkuasaan.
Katanya, melalui sistem itu kerajaan dapat memantau penggunaan diesel bersubsidi secara digital selain mengekang ketirisan akibat penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi.
Armizan berkata, sebanyak 33 jenis kenderaan layak menikmati diesel bersubsidi di bawah SKDS, melibatkan 10 jenis kenderaan sektor pengangkutan awam darat dan 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.
“Termasuk dalam peluasan yang diumumkan sebelum ini ialah kenderaan jenis jip dan pikap yang turut layak memohon di bawah SKDS ini,” jelasnya.
Beliau berkata, apabila pelaksanaan dikuatkuasakan sepenuhnya kelak, pembelian diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan darat barangan pada kadar RM2.15 seliter dan sektor pengangkutan awam pada kadar RM1.88 seliter hanya boleh dibuat menggunakan fleet card atau aplikasi tanpa kad (cardless) yang diluluskan.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyalurkan subsidi kepada golongan dan sektor yang layak walaupun berdepan implikasi kewangan yang besar.
Setakat 14 Jun 2026, sebanyak 8,060 syarikat melibatkan 29,631 kenderaan telah didaftarkan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
