Rampasan kokain pertama di Sabah cecah hampir RM3 juta

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merekodkan rampasan kokain pertama di negeri ini selepas menumpaskan cubaan menyeludup dadah bernilai hampir RM3 juta menerusi sebuah premis perkhidmatan kurier di Tawau pada 21 Mei lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira jam 11.45 pagi oleh pasukan operasi penguatkuasaan JKDM Tawau yang memeriksa dua kotak mengandungi bahan disyaki dadah.

“Untuk kokain, ini adalah rampasan yang pertama di Sabah.

“Bahan tersebut disyaki kokain seberat 4.6 kilogram yang bernilai RM2.048, 823 juta dan 10.65 kilogram bahan disyaki ganja bernilai RM851,712.80.

“Nilai keseluruhan bagi kes ini adalah RM2, 900, 535.80.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak pertama menemui 10 plastik putih yang mengandungi ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis kokain, manakala kotak kedua mengandungi 10 bungkusan aluminium foil berwarna jingga berisi bunga kering mampat yang disyaki dadah jenis ganja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan awal mendapati kedua-dua bahan berkenaan memberikan reaksi positif terhadap dadah berbahaya yang dipercayai jenis kokain dan ganja.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan mengirim bahan terlarang melalui perkhidmatan kurier bagi mengaburi kegiatan penyeludupan mereka.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Kokain yang bernilai RM2, 900, 535.80. 


Mengulas lanjut, beliau mengesahkan siasatan awal mendapati bungkusan berkenaan dipercayai dihantar ke Lahad Datu berdasarkan maklumat penghantaran yang diperoleh.

“Kita akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan daripada kakitangan syarikat kurier.

“Setakat ini kita masih pada peringkat awal untuk mengesan individu yang terlibat,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya belum dapat memastikan sama ada dadah tersebut untuk kegunaan tempatan atau mempunyai destinasi lain kerana siasatan masih dijalankan.

Rampasan itu merupakan sebahagian daripada tujuh kes penyeludupan melibatkan dadah, rokok, minuman keras dan kenderaan yang berjaya dibongkar JKDM Sabah sepanjang Mei lalu dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM4.14 juta.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama