Empat rumah musnah dalam kebakaran, 36 penduduk hilang tempat berteduh

TAWAU : Seramai 36 penduduk kehilangan tempat berteduh selepas empat rumah musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung High Chapperel di sini petang tadi, dengan sebahagian mangsa hanya sempat menyelamatkan diri dan dokumen penting sebelum kediaman mereka hangus terbakar.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.34 petang itu turut menyebabkan sebuah lagi rumah mengalami kerosakan sebanyak 40 peratus.

Susulan kejadian itu, kesemua mangsa daripada 11 Ketua Isi Rumah (KIR) akan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Terbuka OT Jantan, Tanjung Batu Darat.

Seorang mangsa, Zaleha Abdullah, 54, berkata beliau hanya sempat menyelamatkan dua cucunya, Sofiah Kadir, 5, dan Aisyah Kadir yang berusia 12 bulan selepas terdengar bunyi letupan kuat dari rumah jiran sebelum melihat api menjulang tinggi bersama asap tebal.

"Saya terus membawa keluar kedua-dua cucu kerana keadaan ketika itu sangat cemas. Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda lain kecuali beberapa dokumen penting sebelum api merebak ke rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Jarah Jaafar, 65, berkata beliau hanya mampu melihat rumahnya musnah apabila api merebak dengan pantas ke beberapa kediaman berhampiran.

Menurutnya, dalam tempoh kurang 20 minit, rumah yang didiaminya hangus terbakar sepenuhnya.

"Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang. Lebih menyedihkan, lapan ekor kucing peliharaan saya turut gagal diselamatkan dalam kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 3.34 petang sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi tiba pada jam 3.40 petang.

"Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan lima rumah dengan empat daripadanya musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 40 peratus.

"Api merebak dengan pantas berikutan kedudukan rumah yang rapat selain struktur binaan kebanyakannya diperbuat daripada papan dan dipengaruhi faktor angin kencang ketika kejadian," katanya. 

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran serta lori tangki air sebelum kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.20 petang.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama